Free Web Site - Free Web Space and Site Hosting - Web Hosting - Internet Store and Ecommerce Solution Provider - High Speed Internet
Search the Web

NGO gesa Kanun Tanah (pindaan) 2000 dikaji semula

Dipetik dari: Utusan Borneo 25/5/2000

SIBU, Rabu : Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menggesa supaya dikaji semula Kanun Tanah (pindaan) 2000 yang diluluskan di Dewan Negeri baru-baru ini.

NGO terbabit ialah Institut Sumber Borneo, Malaysia - Miri (BRIMAS), Institut Kerjasama Masyarakat Sarawak (COMCIS), Integrated Development For Eco-friendly And Appropriate Litestyle - Sibu (IDEAL), Pusat Pembangunan Penduduk Asli Belaga (IPDC), Sarawakians Access - Kuching, (SACCESS), Sahabat Alam Malaysia - pejabat Marudi (SAM) dan Pertubuhan Penan Sarawak - Baram.

Kenyataan mereka berbunyi :"Adalah paling menyedihkan dan paling dikesali bahawa Rang Undang-Undang itu diluluskan pada 9 Mei 2000 oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri dalam jangka masa yang singkat".

Kerajaan Negeri semasa meluluskan Rang Undang-Undang pindaan itu berharap dapat melindungi kepentingan pemilik tanah Bumiputra dan meningkatkan keuntungan Tanah Hak Adat Bumiputra.

Kerajaan Negeri mempunyai akses yang sama seperti pemilik tanah bergeran dan akan dibayar pampasan berdasarkan nilai yang akan ditentukan oleh kuasa pasaran jika kerajaan memerlukan tanah itu untuk tujuan pembangunan.

Kenyataan itu menyebut bahawa kerajaan negeri tidak membuat penjelasan bagi menjawab keraguan penduduk Bumiputra Sarawak mengenai perlindungan dan pengekalan tanah adat dan amalan di tanah tinggalan nenek-moyang mereka itu.

Bertentangan dengan kehendak dan aspirasi mereka, peruntukan dalam kanun pindaan itu menghadkan masyarakat Asli kepada tuntutan bagi Tanah Hak Adat terhadap tanah mereka, kata kenyataan itu.

"Ini akan membolehkan kerajaan menghapuskan hak itu dengan mudah", kata mereka.

Sebelum pindaan itu, masyarakat terbabit boleh menuntut dan membuktikan hak mereka mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara dan Undang-Undang Adat dan Amalan.

Kenyataan itu menyebut bahawa berikutan pindaan itu, Iban, Penan, Kenyah dan Kayan tidak lagi dapat menuntut hak mereka terhadap tanah nenek-moyang, Hutan Bersama dan Kawasan Hutan bagi tujuan memburu yang sangat penting kepada mereka bagi mengekalkan gaya hidup masing-masing.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Johny Kieh dan Wong Meng Chuo yang mewakili ketujuh-tujuh NGO terbabit. - BERNAMA